Salah satu perkara yang tidak boleh diharapkan sama sekali ialah ingatan manusia. Sebab, manusia biasanya sering lupa. dan diantara perkara yang mudah lupa ialah angka-angka dan kira-kira. Sedangkan dalam perniagaan, kira-kira amatlah penting. Perniagaan yang tidak ada kira-kira bukanlah perniagaan. Walaubagaimana kecil pun perniagaan, kira-kira wang mestilah dibuat. Peniaga-peniaga kecil selalu memikirkan oleh kerana perniagaannya kecil dan kira-kira wang yang terlibat amat sedikit, maka kira-kira perniagaannya tidaklah perlu ditulis.
Anggapan bahawa peniaga kecil tidak perlu menyimpan kira-kira adalah tidak betul. Keuntungan dan kerugian tidak dapat ditentukan melainkan ada kira-kira yang bertulis. Kadang-kadang ada perniagaan yang nampaknya untung, tetapi peniaganya selalu tidak ada wang. Sekiranya ada dicatatkan kira-kira, maka ia akan tahu kemana perginya wang itu. Boleh jadi wang diambil untuk perbelanjaan sendiri terlebih sedikit, oleh kerana ia percaya perniagaanya maju.Boleh jadi ada beberapa perbelanjaan yang berkaitan dengan perniagaannya yang ianya telah terlupa. Boleh jadi ada pelanggan yang berhutang dan ianya terlupa. Oleh kerana kira-kira yang terang tidak ada, maka peniaga akan khayal dalam kepercayaan bahawa ianya mempunyai cukup wang kerana jualannya maju.
Kalau ada kira-kira maka keadaan sebenarnya boleh diketahui oleh si peniaga pada setiap masa. Ia tidak akan khayal. Ia dapat mengurangkan perbelanjaannya jika mustahak.Ia dapat menambah perniagaannya jika kewangan mengizinkan. Ia juga boleh mengetahui bilakah masanya, dan dimanakah tempatnya(jika ia penjaja) yang perniagaannya maju; bila dan dimana pula perniagaanya tidak maju. Dengan menyimpan kira-kira, ia dapat merancang perniagaannya untuk masa depan. Dan apabila perniagaannya sudah membesar, tabiat menyimpan kira-kira ini sudah pun ada dan soal memulakan satu tabiat yang baru tidak akan timbul